Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Panduan Untuk Guru Baru Posting, Apa Yang Perlu Dibuat?





Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. 

Penulisan kali ini adalah kesinambungan kepada penulisan saya sebelum ini iaitu Pengalaman Temu duga SPP di Era Pandemik Covid-19. Dalam penulisan ini, saya akan berkongsi dengan pembaca apa yang saya lalui dan lakukan selepas mendapat tawaran sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 atau bahasa ringkasnya CIKGU. 

Artikel ini ditulis selepas 5 bulan saya berkhidmat sebagai seorang penjawat awam ataupun GURU. Mungkin ada kekurangan, tapi diharapkan perkongsian ini memberi manfaat kepada pembaca semua, khususnya yang telah berjaya ditawarkan untuk menjadi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41. Tahniah! Pengalaman ini saya  susun mengikut kronologi, jadi jom kita mulakan!

Tawaran Perlantikan Tetap Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41

Setelah hampir 8 bulan menganggur di rumah (disebabkan pandemik, kami terpaksa belajar di rumah bermula bulan 3 dan menamatkan pengajian pada bulan 6 2020) akhirnya keputusan yang dinantikan telah tiba iaitu ditawarkan sebagai Pegawai Perkhimatan Pendidikan Gred DG41. Keputusan ini boleh disemak melalu laman web MySPP (kalau tak silap). 

Kalau anda berjaya, anda akan diberi surat untuk dicetak seperti di dalam gambar di bawah. Di dalam surat itu akan dinyatakan jumlah gaji serta apa yang perlu dibuat sebelum, semasa dan selepas melapor diri.

Jadi ikut sahaja apa yang telah dinyatakan di dalam surat tawaran. Untuk makluman, surat tersebut hanya menyatakan bahawa kita telah diberi tawaran, negeri dan sekolah mana kita  ditempatkan, akan dimaklumkan selepas itu. (Paling kurang dalam masa sebulan).

Alhamdulillah, berjaya


Surat tawaran perlantikan jawatan secara tetap

Maklumat Penempatan Negeri

Keputusan penempatan keluar sebulan selepas kita menerima surat tawaran jawatan. Pada permulaan, kita hanya akan tahu penempatan negeri dan juga tarikh penempatan, sekolah dan daerah mana akan dimaklumkan kemudian.  

Sebagai contoh, maklumat penempatan negeri pada waktu saya adalah pada 29 Januari 2021. Jadi terimalah dengan hati yang terbuka walau di negeri mana kita ditempatkan. Yang penting kita kena ingat sebab apa kita jadi guru, jangan mudah untuk mengalah, jangan mudah untuk melatah. 

Ditempatkan di Putrajaya

Join Group Telegram @ Apa-apa media sosial

Setelah tahu negeri mana ditempatkan, langkah seterusnya adalah menyertai group telegram ataupun mana-mana media sosial yang menghimpunkan graduan yang berjaya mendapat penempatan. 

Di sini, anda perlu proaktif, kerana kebiasaanya graduan-graduan yang berjaya  akan berkongsi kejayaan mereka di laman sosial seperti di Facebook dan sebagainya. Dan akan ada yang insan yang mencipta group mengikut negeri penempatan masing-masing. Sebagai contoh, bagi saya seorang lepasan IPG, kami memang sudah ada group telegram yang menghimpunkan batch kami iaitu PISMP AMB JUN 2016 IPGM. 

Dalam group ini, ada graduan yang cipta group berdasarkan negeri penempatan. Sertai group tersebut, dan ambil masa yang ada untuk berkenalan antara satu sama lain. Saya ditempatkan di Wilayah Persekutuan Putrajaya (tidak ada banyak daerah), jadi saya menggunakan masa yang ada ini untuk survey rumah sewa. 

Tak menjadi masalah kerana jarak antara sekolah dan rumah di Putrajaya tidaklah terlalu jauh. (walaupun waktu tersebut, tak tahu lagi ditempatkan di sekolah mana). Hahahaha. 

Group dicipta mengikut negeri penempatan

Mulakan Perjalanan ke Negeri kita Ditempatkan!

    Walaupun penempatan sekolah masih belum diumumkan, saya sudah bergerak menuju ke Putrajaya pada 12 Februari, tiga hari sebelum tarikh lapor diri iaitu 15 Februari. Ini bagi mengelakkan berlaku kekalutan sekiranya bergerak di saat akhir. Yang penting jangan lupa untuk bawa bersama dokumen penting yang diperlukan!

Bertolak ke Putrajaya

Maklumat Penempatan Daerah dan Sekolah

Penempatan sekolah akhirnya diumumkan melalui laman web pada 13 Februari, dua hari sebelum tarikh lapor diri. Walapun tempoh masa yang diberikan amat singkat, tetapi saya tidak kalut kerana sudah berada di negeri penempatan iaitu Putrajaya. 
Akhirnya tahu ditempatkan di sekolah mana!

Operasi Mencari Housemate dan Rumah Sewa!

Dua hari masa yang ada ini saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk mencari housemate dan juga rumah sewa. Disebabkan kami sudah berkenalan di antara satu sama lain di dalam media sosial, jadi sudah hilang perasaan kekok antara kami.

Untuk mencari rumah sewa, pelbagai platform boleh digunakan seperti mudah.my, Facebook (ada group khusus untuk rumah sewa), telegram dan juga aplikasi Speed Home. Alhamdulillah, kami berjaya mendapatkan rumah sewa yang bagus pada harga yang berpatutan di Cyberjaya.  

Menginap di apartment sementara mencari rumah sewa

Hari Yang Dinantikan (Lapor Diri)

Setelah hampir 9 bulan, akhirnya hari yang dinantikan tiba jua iaitu lapor diri. Sebelum melaporkan diri di sekolah, satu sesi taklimat telah diadakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri. Disebabkan oleh pandemik yang melanda, sesi taklimat diadakan secara atas talian melalui Google Meet. Sesi taklimat ini menerangkan apa yang perlu dilakukan oleh guru semasa melapor diri di sekolah masing-masing.  

    Pada jam 10.30 pagi, saya bergerak untuk lapor diri ke sekolah pertama saya iaitu Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1). Ada 6 orang guru baru di sekolah ini termasuklah saya sendiri. Perkara pertama yang perlu dibuat adalah sesi perkenalan bersama barisan pentadbir sekolah. Alhamdulillah, kami diberikan barisan pentadbir yang baik. Sesi perkenalan disusuli dengan akujanji di hadapan Guru Besar.

Lapor diri di sekolah yang pertama

Inilah cikgu-cikgu baharu


Selesaikan Dokumen-dokumen yang Penting

    Sebaik sahaja selesai sesi perjumpaan dengan pentadbir, langkah seterusnya adalah berurusan dengan kerani sekolah untuk menyelesaikan dokumen-dokumen yang penting. Bersuai kenal dan santunilah kerani di sekolah, kerana merekalah antara insan yang akan banyak membantu kita khususnya berkait dengan dokumen dan persuratan. Syukur, 

    Alhamdulillah kerani di sekolah ini melayan kami dengan begitu baik sekali dan urusan dokumen dapat diselesaikan tanpa ada sebarang masalah. Satu lagi, kita juga boleh claim elaun perjalanan. Jadi jangan lupa simpan resit sepanjang perjalanan kita dari rumah sehinggalah ke sekolah.

Berkenalan dengan Warga Sekolah 

    Dalam menyelesaikan urusan dokumen, jangan kita lupa untuk berkenalan dengan warga sekolah. Warga sekolah ini bukan sahaja guru-guru ia juga termasuk staf dan pekerja di sekolah. Ambil masa yang ada untuk kita memperkenalkan diri kita dan juga mengenali mereka. Tenangkan jiwa, santaikan diri dan berkenalan dengan warga sekolah. Jaga adab, hormati mereka dan yang paling penting sentiasa senyum. Kadang-kadang senyuman yang kita lontarkan itu membawa aura yang ceria dan positif!. 

    Kita sebagai guru muda juga, jangan segan untuk bertanya sebarang persoalan kepada guru-guru lama. Orang kata kalau tak tahu, tanya, kalau tak tanya, nanti kita juga yang akan sesat dan menyusahkan diri sendiri. Alhamdulillah, setakat pengalaman saya berada di sekolah ini, guru-guru yang ada sentiasa membantu, tidak lokek untuk berkongsi pengalaman dan ilmu. 

Bina hubungan dengan guru-guru

Kemaskini Sistem Atas Talian (Online)

    Apabila masuk ke alam pekerjaan sebagai guru, perkara yang perlu dihadapi adalah pelbagai sistem atas talian seperti HRMIS, E-Operasi, SPLKPM, APDM, SSDM dan sebagainya. Usah khuatir, kebiasaanya barisan pentadbir seperti Penolong Kanan dan guru-guru senior akan bantu bimbing guru baharu berkenaan dengan sistem ini. Sistem-sistem ini penting ya, jangan ambil mudah, risau boleh menjejaskan kerja kita sebagai penjawat awam sekiranya dipandang enteng. 

Biasakan Diri Dengan LADAP

LADAP adalah perkataan yang sering didengari apabila kita mula memegang jawatan sebagai guru. LADAP adalah singkatan kepada Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP). Biasakan diri dengan LADAP, kerana LADAP adalah satu latihan, kaedah untuk meningkatkan tahap profesionalisme guru. 

    LADAP biasanya diadakan dalam bentuk ceramah, bengkel atau perbincangan yang dikendalikan oleh penceramah atau fasilitator dalaman atau luaran. LADAP pertama yang kami lalui adalah berkenaan dengan DELIMA yang disampaikan oleh Cikgu Rafiudin. Melalui LADAP ini dapat pelbagai ilmu baru yang boleh dimanfaatkan dalam PdPR. Terima kasih cikgu! Jadi ambilah peluang yang ada ini untuk tingkatkan lagi pengetahuan dan profesionalisme kita sebagai guru. 

LADAP pertama

Sentiasa Buat dan Bagi Yang Terbaik !

Kalau ikutkan banyak lagi sebenarnya panduan, tips dan pengalaman yang saya nak kongsikan. Tapi saya rasa cukup sampai setakat ini dahulu, kalau panjang-panjang orang nak baca pun jadi malas. HAHAHA. 

Yang terakhir sekali adalah sentiasa buat yang terbaik. Tak dinafikan sebagai guru baharu banyak cabaran yang akan kita tempuhi. Pelbagai kerja dan tugasan akan diberikan, tapi pegang kepada satu perkara, buat yang terbaik biar kita puas hati dengan kerja yang kita laksanakan. 

Tidak ada ruginya kita buat yang terbaik, walaupun orang tak nampak tapi ingat kita ada Allah yang sentiasa memerhatikan kita. Buat baik, Insya-Allah semuanya akan menjadi baik. Sekian sahaja perkongsian daripada saya. Semoga bermanfaat untuk semua. Terima kasih. Assalamualaikum.
Cikgu Aiman
Cikgu Aiman Bekas siswa guru di IPG Kampus Kota Bharu. Sekarang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1).

8 comments for "Panduan Untuk Guru Baru Posting, Apa Yang Perlu Dibuat?"

  1. Terbaik, cgu. Saya ibu kepada salah seorang graduan ipg, konvo baru selesai minggu lepas. Berdebar tunggu anak saya posting 😅😅

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nanti kalau anak Puan nak posting, bolehlah minta dia baca artikel ni. :)

      Delete
    2. Anak dpt posting mne?

      Delete
  2. Hai Assalaamualaikum cikgu. Nak tanya, cikgu dapat posting di putrajaya ni mengikut urutan penempatan yang cikgu isi di mysmp tu ke atau memang dia bagi random ?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam. Posting diberikan kepada kekosongan subjek yang diperlukan di negeri tersebut. Kalau ada rezeki dapatlah pilihan pertama tu.

      Delete
    2. Ouh faham faham. Okay thank youu.

      Delete
  3. Saya nak tanya, bila kita dapat negeri yg kita posting tu, kita boleh pilih sekolah ke berdasarkan kekosongan subjek tu? Ke JPN yg tentukan semua?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kita tak boleh pilih sekolah, tapi boleh pilih negeri. Akan dipostingkan berdasarkan kekosongan subjek yang ada.

      Delete