Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Tips PdPR Menarik dan Efektif






Dalam penulisan pada hari ini, saya ingin berkongsi tips melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang menarik dan berkesan (efektif). Tips yang saya kongsikan ini merupakan apa yang saya laksanakan semasa dalam tempoh PdPR, dan alhamdulillah ia mendapat sambutan yang positif daripada murid dan juga ibu bapa. (Kehadiran setiap kali kelas lebih kurang 85% ke atas). Apa yang saya kongsikan ini adalah sekadar pengalaman apa yang saya praktikkan, mungkin sesuai digunakan oleh guru-guru di luar sana dan mungkin juga tidak. Sebab apa? Sebab lain padang, lain belalang. Setiap orang tak sama situasi yang dihadapi. Apa pun jom baca TIPS PDPR YANG MENARIK DAN EFEKTIF DI BAWAH:

Maklumkan tentang kelas yang akan dilaksanakan lebih awal kepada murid dan ibu bapa

PdPR adalah satu proses pembelajaran yang dilaksanakan tanpa adanya persemukaan secara fizikal di antara guru dan murid. Apabila berada di rumah, murid-murid kadang terlupa ataupun terleka kerana tidak ada sistem masa yang tetap seperti di sekolah walaupun secara realitinya jadual PdPR telah disediakan. Jadi tugas guru adalah memaklumkan tentang kelas yang akan dilaksanakan melalui pelbagai platform seperti Whatsapp, Google Classroom, Telegram dan sebagainya. Jadi apa yang dilakukan oleh saya adalah memberi maklumat tentang kelas yang akan dilaksanakan sehari sebelum. Tidak terlalu lewat  supaya murid bersedia dan tidak terlalu awal supaya murid tidak terlupa. Kebiasaanya saya akan buat makluman sebaik sahaja PdPR tamat. Sebagai contoh, kalau kelas saya pada hari Rabu, makluman akan dibuat pada petang ataupun malam selasa, kerana pada waktu tersebut murid dan juga ibu bapa mempunyai masa untuk berehat dan melihat gajet. 

Maklumat pembelajaran disampaikan dengan jelas dan teratur

Jika di atas berkait dengan waktu yang sesuai untuk memaklumkan sesuatu kelas, yang kedua adalah macam mana maklumat sesuatu makluman itu ditulis. Maklumat yang hendak disampaikan mestilah jelas, teratur dan sedap mata dipandang (tidak serabuk) kerana ia merupakan salah satu daya tarikan kepada murid-murid. Di bawah adalah contoh maklumat yang saya kongsikan di dalam group kelas yang saya ajar: 



 Elemen yang menarik sebelum kelas bermula

Saya menggunakan platform Google Meet (live streaming) disebabkan murid-murid di sekolah sudah terbiasa dengan platform ini (setiap sekolah pasti berbeza, tapi perlaksanaan yang saya kongsikan ini boleh digunakan). Kebiasaanya sebelum kelas bermula, saya akan buka/open link Google Meet 15 minit awal, kerana murid-murid  suka masuk awal di dalam Google Meet kerana ada daya tarikan yang istimewa iaitu papar muka (interface) dan audio muzik yang saya gunakan sebelum kelas bermula. Ia menjadi salah satu faktor yang menarik minat murid untuk mengikuti kelas yang saya laksanakan. Bagi menyediakan papar muka yang menarik, saya menggunakan platform Canva. Canva premium tersedia bagi guru-guru yang mempunyai akaun MOE, jadi apa salahnya kita gunakan keistimewaan ini untuk menjadikan PdPR lebih menarik. Hehehe. Di bawah ini adalah antara elemen menarik yang saya masukkan sebelum kelas bermula:

Slaid beranimasi + audio lagu yang menarik

Aktiviti PdPR yang tersusun dan interaktif

Sekarang saya akan masuk kepada kemuncaknya iaitu apa yang perlu dibuat sebaik sahaja kelas bermula? Bagi menjadikan kelas kita sistematik dan tersusun, sudah pasti proses pengajaran perlu disusun dengan sebaik mungkin, mulakan dengan induksi, diakhiri dengan penutup. Itu adalah perkara yang saya lakukan, tetapi pengisian yang ada di dalam pengajaran kita adalah adalah kunci kepada PdPR yang menarik dan interaktif! Salah satunya adalah menghasilkan slaid pembelajaran menggunakan Canva Premium.
  • Yang pertama saya mulakan pengajaran dengan set induksi, boleh dipelbagaikan mengikut kesesuaian dengan situasi semasa. Biasanya saya akan mulakan dengan video dan juga mentimeter selepas menonton video. Mentimeter adalah satu laman web interaktif yang membolehkan murid melihat paparan jawapan yang diberikan oleh mereka. Sangat sesuai digunakan untuk membuka sesi pembelajaran dan juga di dalam aktiviti. 

Gabungan canva + video

Mentimeter, tulisan paling besar adalah jawapan yang paling banyak diberi oleh murid

  • Seterusnya untuk aktiviti utama/kemuncak iaitu pengajaran, saya akan mulakan dengan memaparkan  slaid yang telah saya bina menggunakan Canva (Powerpoint pun tidak ada masalah). Slaid yang dibina perlulah berkualiti, menarik serta mempunyai elemen interaktif  supaya murid-murid tidak bosan. Untuk menjadikan pengajaran saya interaktif, saya mencuba pelbagai perisian, laman web seperti Wordwall, Quizziz, Kahoot, Wooclap, Slido dan pelbagai lagi. Jangan risau, selain interaktif rekod murid juga disimpan, secara tidak langsung ia memudahkan guru untuk melaksanakan PBD :)
Slaid dibina menggunakan Canva

Wordwall menawarkan pelbagai permainan yang menarik

Gabungan Google Meet dan Quizizz Live

Permainan Who Wants to be A Millionaire juga menarik dijadikan aktiviti


Penutup yang santai

Setelah selesai kesemua pengajaran dan aktiviti seperti yang dinyatakan di atas, saya biasanya akan akhiri pembelajaran dengan penutup yang santai. Untuk 10 minit terakhir, saya buat satu slot khusus iaitu Perbincangan Ilmiah bersama Cikgu Aiman. Melalui slot ini, saya akan berikan ruangan kepada murid untuk bertanyakan apa-apa sahaja soalan tentang tajuk yang dipelajari pada hari tersebut, kemudian saya akan buat rumusan terhadap pembelajaran pada hari ini. Kita juga boleh minta murid untuk buat rumusan, tidak ada masalah. Pada bahagian penutup, saya juga akan bagi link Google Form kehadiran, yang mana saya dah tetapkan masa bagi Google Form tersebut. Apabila masa yang diberikan telah tamat, Google Form kehadiran akan ditutup secara automatik. Caranya adalah dengan menggunakan Add-Ons Form Limiter. Untuk membina kehadiran yang mudah dan sistematik, boleh rujuk disini Tutorial Bina Google Form Kehadiran yang Mudah dan Sistematik

Slot penutup yang santai

Tetapkan masa untuk murid mengisi kehadiran Google Form

Jangan lupa pada murid yang tidak dapat mengikuti PdPR

Tatkala kehadiran mencapai 80% dan ke atas, jangan kita lupa kepada murid yang tidak dapat mengikuti PdPR. Kadang-kadang kekangan gajet, internet dan sebagainya asbab mereka tidak dapat mengikuti PdPR secara live streaming, tetapi itu bukan alasan untuk kita mengabaikan mereka. Mereka juga berhak untuk menerima ilmu seperti yang lain, tidak ada alasan untuk kita tidak bersikap adil. Apa yang saya lakukan adalah saya masukkan rakaman Google Meet pembelajaran yang dilaksanakan di dalam satu folder, kemudian saya letakkan di dalam MyLink saya dan dikongsikan di dalam group Whatsapp. Untuk bina MyLink boleh lihat disini Tutorial bina MyLink

Letakkan video rakaman Google Meet dalam satu folder Drive



Kongsikan di dalam group kelas


Gaya pengajaran yang menarik

Selain menyediakan rancangan pengajaran dan aktiviti yang menarik, guru juga perlu ada gaya pengajaran yang menarik. Menarik pada saya adalah tidak terlalu menekan murid, masukkan unsur kecindan (humour), intonasi suara yang pelbagai serta ekpresi muka sentiasa senyum supaya timbul aura positif di dalam PdPR yang dilaksanakan. Tidak dilupakan pujian sebagai peneguhan positif sekiranya mereka menunjukkan kelakuan yang bagus semasa PdPR. Bagi saya elemen ini memainkan peranan yang penting kerana ia boleh menarik minat murid untuk bersama dengan kita sepanjang PdPR. 

Semak hasil kerja murid dan ada ganjaran

Satu lagi perkara yang menjadikan PdPR efektif adalah sentiasa menyemak hasil kerja murid. Kadang-kadang ada guru yang bertalu-talu memberikan kerja rumah, tetapi tidak ada follow up terhadap tugasan yang diberi. Apabila perkara ini dibiarkan, murid akan menganggap bahawa hasil kerja yang mereka hasilkan hanyalah sia-sia. (walaupun pada realiti kerja rumah adalah satu perkara yang baik). Jadi sentiasalah semak kerja murid disertai dengan peneguhan positif seperti komen, pujian dan ganjaran. Ganjaran yang paling mudah adalah e-sijil penghargaan kepada murid yang berjaya menyiapkan tugasan. Kriteria mestilah ditetapkan sebelum sijil diberikan kepada murid, supaya tidak berlaku lambakan sijil. Sebagai contoh sijil penghargaan diberikan kepada murid yang menghantar tugasan 5 kali secara berturut-turut ataupun murid yang menghadiri PdPR berturut-turut selama sebulan. 

Semak hasil kerja beserta dengan komen


Penandaan juga boleh dibuat menggunakan Grade With Kami. Terima kasih Cikgu Azida di atas perkongsian gambar ini.

E-sijil yang boleh disediakan kepada murid. Terima kasih Cikgu Hamizah untuk gambar ini.


RUMUSAN 
Secara keseluruhan, itu adalah tips-tips yang boleh saya kongsikan kepada guru-guru di luar sana. Semoga apa yang dikongsikan ini memberi idea dan manfaat kepada pembaca. Saya akan kemaskini penulisan ini dari semasa ke semasa. Sekiranya ada sebarang komen, anda boleh tinggalkan komen di bawah.

Telegram Channel CikguAime Dot Com

Saya telah create satu telegram yang khusus untuk berkongsi artikel-artikel yang dikarang di dalam blog ini. Silalah join untuk mengetahui pelbagai perkongsian yang menarik. Terima kasih. Link telegram - CikguAime Dot Com
Cikgu Aiman
Cikgu Aiman Bekas siswa guru di IPG Kampus Kota Bharu. Sekarang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1).

2 comments for "Tips PdPR Menarik dan Efektif"

  1. Salam cikgu, maaf bertanya. Di mana saya nak buat kuiz who wants to be a millionaire tu ye?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya dah try google. Tak jumpa versi cikgu punya.

      Delete