Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Soalan - Soalan Lazim Tentang IPG


Elaun IPG, Pengalaman di IPG

Soalan - Soalan Lazim Tentang IPG | Dalam artikel ini, saya akan berkongsikan soalan-soalan yang sering ditanya berkenaan dengan IPG. Soalan yang dilampirkan ini juga adalah antara soalan yang selalu ditanya oleh bakal siswa guru sebelum mendaftar masuk ke IPG. Semoga bermanfaat dan menjawab persoalan anda semua.

Soalan - Soalan Lazim Tentang IPG

  • Apakah itu IPG?
    • IPG adalah singkatan kepada Institut Pendidikan Guru. Ianya merupakan satu institut yang melatih siswa guru (sebutan bagi penuntut di IPG) untuk menjadi pendidik di sekolah rendah.
  • Berapa lama tempoh pengajian di IPG?
    • Jika anda mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP), maka tempoh pengajian adalah selama 5 tahun. Satu tahun yang pertama adalah Program Persediaan  Ijazah Sarjana Mudah Perguruan (PPISMP), empat tahun seterusnya adalah PISMP. Ia merupakan satu tempoh yang penting dalam melahirkan guru yang berkualiti.
  • Berapakah yuran pendaftaran IPG?
    • Kebiasaan yuran pendaftaran dalam lingkungan RM500 sahaja. Anda perlu membayar sekali sahaja dalam tempoh 5 tahun.
  • Bagaimana dengan elaun di IPG?
    • Salah satu keistimewaan IPG adalah anda diberikan elaun bulanan berjumlah RM430. Elaun itu sendiri membawa maksud bayaran yang diberikan kepada seseorang (oleh sesebuah organisasi) secara tetap (untuk melaksanakan sesuatu tugas). Maka anda tidak perlu membayar balik elaun tersebut kerana ianya bukan pinjaman tetapi anda perlu berkhidmat kepada kerajaan dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai guru.
  • Selain elaun bulanan, elaun apa lagi yang ada?
    • Anda juga akan ada elaun perjalanan/pengangkutan yang berjumlah RM500 setahun. Elaun perjalanan boleh dituntut dengan syarat-syarat tertentu. Biasanya elaun ini dituntut oleh siswa guru Sabah/Sarawak yang menuntut di IPG Semenanjung ataupun sebaliknya.
  • Adakah ada jaminan kerja selepas tamat belajar?
    • Antara kelebihan utama apabila anda memilih untuk belajar di IPG ialah anda akan mempunyai jaminan pekerjaan di masa hadapan. Anda tidak perlu risau mengenai masalah pengangguran apabila sudah menamatkan pengajian. Sebab IPG merupakan institusi yang directly berada di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). 
    • Setiap pengambilan adalah berdasarkan kepada unjuran 5 tahun akan datang. Sebagai contoh, anda diambil pada tahun 2020 adalah berdasarkan jumlah bilangan guru yang diperlukan pada tahun 2025. Tapi itu bukan tiket untuk anda bersenang-lenang kerana anda mungkin tidak ditawarkan kerja sekiranya melakukan masalah yang besar semasa belajar di IPG. Jadi berhati-hati.
  • Macam mana sistem pembelajaran di IPG?
    • Bermula tahun lepas, setiap tahun akan ada 3 semester. Sebelum pandemik Covid-19, sistem pembelajaran di IPG adalah seperti gabungan sekolah dan universiti.  Kelas bermula jam 8.00 pagi sehinggalah jam 4.00 petang.  Tapi tidak semua semester seperti itu, ada semester yang kurang kelas, ada semester yang padat dengan kelas. Ia bergantung kepada jumlah subjek bagi setiap semester. Tapi disebabkan oleh Covid-19, pembelajaran dilaksanakan secara Open Distance Learning (ODL).
  • Macam mana suasana pembejaran di IPG?
    • Setiap kelas biasanya akan mempunyai 15 sehingga 20 orang. Mereka akan menjadi classmate anda selama 5 tahun. Pembelajaran di IPG berfokus untuk membentuk anda menjadi guru, maka pembentangan itu adalah lumrah kerana anda perlu melatih dan membentuk kemahiran komunikasi. Jangan terkejut kalau sehari anda kena buat 3 sehingga 4 kali pembentangan, itu perkara biasa. Alah bisa tegal biasa.
Suasana belajar di IPG

  • Berapa subjek kena belajar dekat IPG?
    • Bergantung kepada semester. Setiap semester, bilangan subjek berbeza. Average 7-8 subjek bagi setiap semester. Tapi jangan risau, semakin meningkat semester anda, semakin berkurang subjek. Ada semester yang akan ada hanya 3 hingga 4 subjek sahaja. Untuk nota di IPG boleh tengok di dalam blog ini.
  • Berapa pointer untuk Anugerah Dekan/Anugerah Pengarah di IPG?
    • Pointer untuk dekan di IPG ialah 3.75 dan ke atas berbeza dengan universiti. Sebab apa? Di IPG sangat mudah untuk anda score dekan pada setiap semester, yang penting buat tugasan yang diberi dan jawab peperiksaan dengan sebaik mungkin. Satu lagi, pengiraan pointer hanya akan bermula semasa PISMP. PPISMP hanyalah persediaan sahaja. 
  • Adakah ujian MUET perlu diambil?
    • Ujian MUET hanya wajib diambil oleh siswa guru opsyen TESL. Selain opsyen TESL, tak perlu ambil.
  • Apakah syarat pemakaian di IPG?
    • Pernah tengok pemakaian guru-guru anda di sekolah? Itulah pemakaian di IPG. Semasa kelas, untuk lelaki anda perlu memakai pakaian formal iaitu baju kemeja + tali leher + seluar slack dan berkasut  manakala baju kurung untuk perempuan dan berkasut. Untuk non-muslim anda boleh pakai blaus dan skirt tapi pastikan skirt tidak melebihi paras lutut. 
    • Satu lagi nametag, benda yang wajib dipakai. Pada hari khamis, anda kena pakai baju batik. Selain dari waktu tersebut, bebas tetapi dengan syarat menutup aurat dan sopan, tidak terlalu menonjol ataupun keterlaluan hingga tidak menampakkan peribadi anda sebagai seorang guru.
Antara pemakaian di IPG

  • Adakah siswa guru diberikan penginapan?
    • Ya, dua orang bagi setiap bilik.  Teman bilik tak boleh pilih kerana kebiasaanya telah ditetapkan oleh IPG. Jadi cubalah memahami di antara satu sama lain. Mungkin itulah teman sebilik anda sampai tamat pengajian. Nak hias bilik? Tidak ada masalah, tapi jangan berlebih-lebih, sebab tak tahu sampai bila kita boleh menginap di bilik tersebut. Mungkin anda kena berpindah bilik.
Ini adalah susunan dalam bilik. Bilik ini telah dihias


  • Boleh memasak ke di asrama?
    • Atas faktor keselamatan, anda tidak dibenarkan untuk memasak di asrama.
  • Boleh bawa kenderaan ke di IPG?
    • Boleh, tidak ada masalah, tetapi pada tahun kedua. Tahun pertama tak dibenarkan. Caranya adalah pergi ke Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan isi borang untuk bawa kenderaan. Nanti anda akan diberikan stiker untuk ditampal pada kenderaan.
  • Minum dan makan disediakan ke?
    • Anda kena ingat bahawa IPG bukan lagi seperti sekolah. Makan dan minum kena beli sendiri. Jangan risau kantin disediakan, kalau nak beli makanan dekat luar tidak ada masalah.
  • Keluar/masuk di IPG macam mana?
    • Setiap IPG dia mempunyai peraturan yang berbeza. Sebagai contoh, di IPG Kampus Kota Bharu, pada hari kuliah siswa guru dibenarkan keluar bermula jam 1.00 tengah hari sehingga 11.00 malam. Pada hujung minggu ataupun hari cuti, bebas untuk keluar/masuk asalkan balik ke IPG sebelum 11.00 malam. (Mostly IPG peraturan masa seperti ini).
  • Adakah cuti IPG sama seperti cuti sekolah?
    • Bermula pada tahun 2020, cuti IPG tidak lagi sama seperti cuti sekolah. IPG mempunyai cuti sendiri (sama macam Universiti). Kalau nak tahu, silalah masuk IPG.
  • Apakah barangan keperluan yang penting untuk dibawa ke IPG?
    • Bawa barangan peribadi yang penting. Selain itu, laptop dan printer juga penting sebab banyak tugasan di IPG memerlukan anda untuk menggunakan laptop dan printer. 
  • Macam mana dengan aktiviti dan sukan di IPG?
    • Jangan risau, di IPG anda akan menghadapi pelbagai aktiviti. Anda juga akan diberikan unit beruniform sama seperti di sekolah. Sukan juga ada dan penganjurnya adalah anda sendiri! Sebab IPG dia akan fokuskan kepada kejurulatihan dan kepengelolaan. 

Penganjuran sukan di IPG


Cikgu Aiman
Cikgu Aiman Bekas siswa guru di IPG Kampus Kota Bharu. Sekarang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1).

Post a Comment for "Soalan - Soalan Lazim Tentang IPG"